Pages

Wednesday, 2 June 2010

Lafaz Salam - Di Luar Dan Di Dalam Sembahyang

Salam di luar sembahyang ialah ucapan penghormatan yang diucapkan sesama orang-orang Islam. Hukum mengucapkan salam itu adalah sunat mu’akkadah (sunat yang dituntut). Ia merupakan sunnah Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wasallam dan amalan para as-salaf ashshaleh yang sangat-sangat digalakkan, sebagaimana hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya:

“Bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apakah pekerti Islam yang terbaik? Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang kau kenal dan yang tidak kau kenal.”

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Hadits ini merupakan suatu anjuran supaya mengucapkan salam kepada siapa saja yang ditemui, tidak terbatas kepada orang Islam yang dikenali malah juga yang tidak dikenali.

Adapun menjawab salam yang diucapkan oleh saudara Islam itu pula adalah wajib. Ini jelas berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya:

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

(Surah an-Nisaa: 86)

Sementara salam dalam sembahyang pula ialah ucapan salam yang merupakan rukun qauli (bacaan) yang wajib dilafazkan sebagai penutup bagi ibadah sembahyang.

Apakah ia lafaz-lafaz salam di luar sembahyang itu? Bagaimanakah lafaz salam yang sebaik-baiknya untuk diucapkan apabila bertemu dengan seseorang dan bagaimanakah pula orang yang diucapkan salam itu menjawabnya? Bagaimanakah lafaz salam yang dituntut dalam sembahyang itu?


Lafaz Salam Di Luar Sembahyang

(1) Lafaz salam apabila bertemu seseorang dan lafaz menjawabnya


Lafaz memberi salam

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa lafaz salam yang afdhal dan sempurna ialah dengan mengatakan: " اَلسَلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله وَبَرَكَاتُهُ " (Selamat sejahtera, rahmat Allah serta keberkatanNya ke atas kamu). Menggunakan dhamir jama' (kata ganti nama diri kedua bagi bilangan melebihi dua orang) pada perkataan “ عَلَيْكُمْ” adalah afdhal meskipun orang yang diberi salam itu seorang sahaja.

Sudah menjadi kebiasaan kita apabila bertemu dengan saudara kita mengucapkan salam itu dengan mengatakan: " اَلسَلاَمُ عَلَيْكُمْ " atau " اَلسَلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله " atau " اَلسَلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله وَبَرَكَاتُهُ ".

Menurut ajaran Islam, setiap ucapan salam itu mempunyai nilai pahala yang berbeza-beza sesuai dengan lafaz salam yang diucapkan, sepertimana yang diriwayatkan oleh ‘Imran bin Hushain Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya:

“Seorang lelaki datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu memberinya salam dengan mengucapkan: “"السلام عليكم”, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab salam itu. Kemudian orang itu duduk lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “(Baginya) sepuluh hasanah (kebaikan). Kemudian datang lagi seorang yang lain seraya mengucapkan: “"السلام عليكم ورحمة الله”, lalu Baginda menjawabnya. Kemudian orang tersebut duduk lalu Baginda pun bersabda: “(Baginya) dua puluh hasanah (kebaikan). Kemudian datang pula seorang yang lain, lalu dia mengucapkan: “السلام عليكم ورحمة الله وبركاته”, Baginda pun menjawabnya, lalu orang tersebut duduk. Baginda bersabda: “(Baginya) tiga puluh hasanah (kebaikan).”

(Hadits riwayat Abu Daud)

Mengucapkan salam dengan lafaz: “Assalamu‘alaikum” ( اَلسَلَامُ عَلَيْكُمْ ) sudah dikira memadai. Demikian juga jika diucapkan dengan lafaz: “Assalamu‘alaika” ( اَلسَلَامُ عَلَيْكَ ) atau “salamun ‘alaika” ( سَلاَمٌ عَلَيْكَ ), maka itu juga memadai dan dikira memberi salam.

Lafaz menjawab salam

Bagi orang yang menjawab salam, cara yang afdhal menjawabnya ialah dengan mengucapkan: “ وَعَلَيْكُمُ السَلَامُ وَرَحْمَةُ الله وَبَرَكَاتُهُ ”, dengan tambahan huruf (واو) pada perkataan “وعليكم” yang bererti (dan atas kamu juga).

Adapun cara menjawab salam yang sekurang-kurangnya ialah dengan mengucapkan: “Wa‘alaikassalam” ( وَعَلَيْكَ السَلَامَ ) atau “wa‘alaikumussalam” ( وَعَلَيْكُمُ السَلَامُ ). Jika diucapkan atau dijawab ( عَلَيْكُمُ السَلَامُ ) tanpa menyebut “Wa” iaitu huruf (واو), maka itu pun sudah mencukupi atau memadai sebagai jawapan salam.

Abu Yahya Zakaria al-Anshari Rahimahullah menjelaskan bahawa mengucap dan menjawab salam dengan perkataan “ سلام ” itu dalam bentuk معرفة (dibubuh huruf alif dan lam) menjadi “ اَلسَلَامُ عَلَيْكُمْ ” dan “ وَعَلَيْكُمُ السَلَامُ ” adalah afdhal daripada mengucapkannya dalam bentuk نكرة (tidak ada huruf alif dan lam), iaitu “سَلَامٌ عَلَيْكُمْ” dan “وَعَلَيْكُمْ سَلَامٌ”. Namun begitu, ia tetap juga memadai sebagai ucapan dan jawapan salam yang diniatkan.


(2) Lafaz salam apabila menziarahi maqam Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sahabat Baginda

Apabila seseorang masuk Masjid Nabawi, kerjakanlah sembahyang sunat Tahiyyatulmasjid, kemudian pergilah menziarahi maqam Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menghadap ke arah Baginda dan membelakangi kiblat dalam jarak empat hasta daripada dinding maqam Baginda. Kemudian ucaplah salam ke atas Baginda dengan suara yang perlahan. Sekurang-kurang salam ke atas Baginda itu ialah dengan mengucapkan: “ اَلسَلَامُ عَلَيْكَ يَا رَسُولُ الله صَلَى الله عَلَيْكَ وَسَلَم ” (Selamat sejahtera ke atas Tuan, wahai Rasulullah, Allah memberikan selawat dan salam ke atas Tuan).

Ataupun dengan salam yang panjang seperti:


Maksudnya:

“Selamat sejahtera ke atas Tuan wahai Rasulullah, selamat sejahtera ke atas Tuan wahai makhluk pilihan Allah, selamat sejahtera ke atas Tuan wahai kekasih Allah, selamat sejahtera ke atas Tuan wahai penghulu para rasul dan penutup para nabi, selamat sejahtera ke atas Tuan, keluarga Tuan, sahabat-sahabat Tuan, ahli rumah Tuan, para nabi dan sekalian orang-orang yang shaleh. Aku bersaksi bahawa Tuan telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah dan telah memberi nasihat kepada umat maka semoga Allah akan memberi ganjaran daripada kami dengan sebaik-baik ganjaran yang diberikan kepada seorang rasul daripada umatnya.”

Adapun lafaz salam bagi menyampaikan salam orang lain kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah dengan menambah nama orang yang berpesan itu seperti mengucapkan: “ اَلسَلَامُ عَلَيْكَ يَا رَسُولُ الله مِنْ فُلَانِ اِبْنِ فُلَانٍ ” (Selamat sejahtera ke atas Tuan wahai Rasulullah daripada Polan bin Polan) atau mengucapkan: “ فُلَانُ ابْنُ فُلَانٍ يُسَلِمُ عَلَيْكَ يَا رَسُولُ الله ” (Si Polan bin Polan mengucapkan selamat sejahtera ke atas Tuan wahai Rasulullah).

Kemudian beralih ke kanan dalam jarak sehasta untuk mengucapkan salam ke atas Saiyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu dengan mengucapkan:

Maksudnya:

“Selamat sejahtera ke atasmu wahai Abu Bakar sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang yang menemaninya di gua (tsur). Semoga Allah memberi ganjaran dengan ganjaran yang sebaiknya kepadamu daripada umat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”

Kemudian beralih lagi ke kanan dalam jarak sehasta untuk mengucapkan salam ke atas Saiyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu dengan mengucapkan:

Maksudnya:

“Selamat sejahtera ke atasmu wahai ‘Umar orang yang dengannya Allah telah menguatkan Islam. Semoga Allah memberikan ganjaran dengan ganjaran yang sebaiknya kepadamu daripada umat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”


(3) Lafaz salam apabila menziarahi ahli kubur orang Islam

Sunat memberi salam kepada ahli kubur orang Islam dengan menghadap ke arah muka ahli kubur tersebut, sebagaimana salam yang diajarkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits riwayat Imam Muslim Rahimahullah, iaitu:

Maksudnya:

“Selamat sejahtera kepada kamu sekalian, wahai penghuni kampung-kampung dari kalangan mukminin dan muslimin, dan sesungguhnya kami, Insya Allah, akan bertemu kamu, saya memohon kepada Allah ‘afiat untuk kami dan untuk kamu sekalian.”


(4) Lafaz salam apabila memasuki rumah yang tidak berpenghuni

Sunat mengucapkan salam ketika hendak masuk rumah, bukan sahaja ketika hendak masuk ke rumah orang lain bahkan juga ketika hendak masuk ke rumah sendiri sekalipun rumah tersebut tidak berpenghuni dengan mengucapkan:

Maksudnya:

“Selamat sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang shaleh, selamat sejahtera rahmat Allah serta keberkatanNya ke atas kamu wahai ahli rumah.”


Lafaz Salam Dalam Sembahyang

Memberi salam di akhir sembahyang iaitu setelah selesai membaca tasyahhud akhir adalah termasuk dalam rukun sembahyang. Sekurang-kurang lafaz salam itu ialah dengan membaca ( السلام عليكم ) dan diucapkan sekali.

Sementara lafaz salam yang afdhal dan sempurna ialah dengan membaca ( السلام عليكم ورحمة الله ) sebanyak dua kali, sekali pada salam pertama di sebelah kanan dan sekali pada salam kedua di sebelah kiri, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:

“Sesungguhnya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) memberi salam di sebelah kanannya dan kirinya (dengan membaca) " السلام عليكم ورحمة الله , السلام عليكم ورحمة الله ".

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Adapun menambah di akhir lafaz salam itu dengan perkataan (وبركاته ) adalah tidak disunatkan.


Kesimpulan

Memberi salam itu merupakan sebahagian daripada etika orang Islam ketika bertemu dan berjumpa saudaranya. Dengan salam akan eratlah lagi jalinan ukhuwwah Islamiah sesama Islam, kerana anjuran memberi salam itu bukan terbatas kepada orang yang dikenali ataupun yang dekat dengan kita sahaja.

Memberi salam juga disunatkan apabila menziarahi kubur orang-orang Islam termasuk makam Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sahabat Baginda. Dengan memberi salam kepada ahli kubur, kita telah mendoakan mereka dengan kesejahteraan dan keselamatan mereka.

Di dalam sembahyang pun kita juga dituntut memberi salam sebagai salah satu rukun sembahyang.

Maka lafaz salam ini sangat mulia dan dituntut dalam Islam, kerana ia menambahkan pahala, mengeratkan hubungan sesama Islam, doa kesejahteraan kepada mereka yang telah pergi meninggalkan kita, bahkan ia juga memberi kesan kepada sahnya
ibadah sembahyang.


(rujukan: Irsyad Hukum, Jabatan Mufti Kerajaan Brunei)

No comments:

Post a Comment