Negara Islam Madinah
Negara Islam yang baru dibina di Madinah mendapat tentangan daripada
kaum Quraisy di Makkah dan gangguan dari penduduk Yahudi serta kaum
bukan Islam yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad s.a.w berjaya juga
menubuhkan sebuah negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya pentadbiran
dan perundangan yang berlandaskan syariat Islam. Baginda dilantik
sebagai ketua agama, tentera dan negara. Semua rakyat mendapat hak yang
saksama. Piagam Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian
bertulis telah dibentuk. Piagam ini mengandungi beberapa fasal yang
melibatkan hubungan antara semua rakyat termasuk kaum bukan Islam dan
merangkumi aspek politik, sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan.
Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu dan dijadikan dasar
undang-undang Madinah.
Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian. Namun begitu, aspek
pertahanan amat penting bagi melindungi agama, masyarakat dan negara.
Rasulullah telah menyertai 27 kali ekspedisi tentera untuk mempertahan
dan menegakkan keadilan Islam. Peperangan yang ditempuhi baginda ialah
Perang Badar (623 M/2 H), Perang Uhud (624 M/3 H), Perang Khandak (626
M/5 H) dan Perang Tabuk (630 M/9 H). Namun tidak semua peperangan
diakhiri dengan kemenangan.
Pada tahun 625 M/ 4 Hijrah, Perjanjian Hudaibiyah telah dimeterai
antara penduduk Islam Madinah dan kaum Musyrikin Makkah. Maka dengan
itu, negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi Muhammad s.a.w. juga
telah berjaya membuka semula kota Makkah pada 630 M/9 H bersama dengan
10 000 orang para pengikutnya.
Perang terakhir yang disertai oleh Rasulullah ialah Perang Tabuk dan
baginda dan pengikutnya berjaya mendapat kemenangan. Pada tahun
berikutnya, baginda telah menunaikan haji bersama-sama dengan 100 000
orang pengikutnya. Baginda juga telah menyampaikan amanat baginda yang
terakhir pada tahun itu juga. Sabda baginda yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhan kamu Maha Esa dan
kamu semua adalah daripada satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam a.s.
Semulia-mulia manusia di antara kamu di sisi Allah s.w.t. ialah orang
yang paling bertakwa. Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara dan
kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan
dua perkara itu, iaitu kitab al-Quran dan Sunnah Rasulullah.”
Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w
Baginda telah wafat pada tahun 632 M/tahun
11 Hijrah. Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya sebagai
rasul dan pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan yang
benar dan menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan
berkebolehan. Rasulullah adalah contoh terbaik bagi semua manusia
sepanjang zaman.
No comments:
Post a Comment