Pages

Tuesday 11 May 2010

Solat Tahajjud - Makna & Fadilatnya


MAKSUD SOLAT TAHAJJUD

1). “Tahajjud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam.

2). Solat tahajjud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir.

3). Abdullah bin Umar mengatakan, “untuk melaksanakan solat Tahajjud” hendaklah tidur kemudian bangun dan berwuduk.

4). Sebaik-baiknya jika hendak melakukan solat Tahajjud sebelum tidur berniat akan bangun mengerjakan solat tahajjud. Sebagaimana hadith dari Abu Darda’ RadhiAllahu ’anhu berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: (maksudnya)
Barangsiapa yang akan tidur dan berniat hendak bangun mengerjakan solat malam, kemudian terlanjur terus tertidur hingga pagi, maka dicatatlah niatnya itu sebagai satu pahala, sedang tidurnya ia dianggap sebagai kurnia Tuhan yang diberikan kepadanya.” (Hadith Riwayat an-Nasa’i dan Ibnu Majah).

5). Imam Syafi’i berpendapat, solat malam baik sebelum tidur mahupun selepas tidur, dan solat witir dinamakan Tahajjud.

6). Hadith dari Ibnu Abbas r.a. yang mengatakan: (maksudnya)
Kita diperintah oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam supaya mengerjakan solat malam (tahajjud) itu dan menganjurkannya sungguh-sungguh, sehingga beliau bersabda: Hendaklah kamu solat malam walaupun hanya satu rakaat.” (Hadith Riwayat Tabrani)

7). Allah berfirman yang Maksudnya:
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah ‘solat tahajjud’ padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah Al-Isra’: 79).


KELEBIHAN SOLAT TAHAJJUD

1. Hadith dari Bilal Radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud,
“Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa/ kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.”
Hadith ini diriwayatkan oleh Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.

2. Hadith riwayat dari Sayidina Umar Ibnu Khattab, dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam beliau bersabda yg bermaksud:

“Sesiapa yang mengerjakan solat di waktu malam (tahajjud) serta membaguskan solatnya, Allah akan memberikan dia kemuliaan sembilan macam. Lima macam di dunia, dan empat macam di akhirat”.
“Yang lima macam di dunia, ialah Allah akan memeliharanya dari segala macam bahaya. Ditunjukkan tanda-tanda sebagai orang yang taat pada mukanya. Ia akan dicintai di hati orang-orang mukmin dan segenap hati manusia umumnya dan pembicaraannya berisi hikmat, dijadikan dia orang bijaksana, yakni dia dikurnai fikiran cerdas”. “Yang empat macam di akhirat nanti, ialah dibangkitkan dia dari kubur, wajahnya putih bercahaya, akan dimudahkan dia waktu dihisab, ia akan melintas di atas shirat (titian) seperti kilat, dan diberikan buku amalannya di tangan kanannya di hari kiamat.”

Demikianlah manfaat dan faedah bagi orang yang melakukan solat tahajjud dengan sebaik-baiknya.
Wallahu a’lam..
Semoga biskita semua mendapat ganjaran pahala daripada Allah… Amin.


(Panduan dari Nota YM Dato Paduka Haji Abd.Rajid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Negara Brunei Darussalam
Diubahsuai oleh imam masjid MSBPT)

No comments:

Post a Comment