SALAH satu ajaran Islam yang merupakan ajaran yang sangat-sangat ditekankan yang pada hakikatnya banyak memberikan manfaat kepada diri sendiri dan kehidupan bermasyarakat ialah memberi sedekah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 274 yang tafsirnya:
"Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau berterang-terang, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita."
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya:
"Orang yang dermawan itu adalah dekat kepada Allah, dekat kepada Syurga, dekat kepada manusia, jauh dari Neraka. Orang yang kedekut itu adalah jauh dari Allah, jauh dari Syurga, jauh dari manusia dan dekat kepada Neraka. Orang bodoh yang dermawan pula lebih dicintai oleh Allah daripada ahli ibadah yang kedekut."
Selain itu diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Asma' Radiallahu anha katanya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepadanya yang maksudnya:
"Janganlah kamu kedekut, (jika kamu bersikap demikian) Allah akan bersikap kedekut kepada kamu."
Bagaimana senario hari ini berbeza, masih ramai yang jahil mengenai intipati sedekah sehinggakan mereka menganggap derma atau sedekah hanyalah satu pemberian yang hanya mengurangkan harta mereka dan menyusahkan, ianya tidak mendatangkan kebaikan bagi mereka. Lebih teruk lagi sesetengah perbuatan sedekah itu dicanang ke sana sini kepada orang ramai bagi tujuan tertentu, di sinilah berlakunya sifat riyak.
Ada pula sesetengah orang lebih cenderung mengumpul harta dan tidak mahu mengeluarkan zakat apatah lagi bersedekah. Mereka khuatir harta mereka menjadi sedikit dan berkurangan. Di sinilah timbulnya hawa nafsu dan sikap tamak membuatkan mereka menjadi bakhil dan kedekut. Umat Islam tidak perlu takut untuk bersedekah kerana ganjaran sedekah itu biarpun sedikit ianya amat besar nilainya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya dengan bersedekah tindaklah akan mengurangkan harta seseorang, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 261 yang tafsirnya:
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya."
Bersedekah tidak hanya dituntut ke atas orang kaya bahkan semua orang boleh dan digalakkan bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Sedekah pada hakikatnya didasari rasa keprihatinan, keperimanusiaan dan keikhlasan. Tidak perlulah menunggu kaya untuk bersedekah kerana sesungguhnya orang yang bersedekah itu lebih baik dari orang yang meminta sedekah. Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, daripada Abdullah bin Umar Radiallahuanhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
"Tangan yang di atas (orang yang memberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima)."
Umat Islam tidak perlu takut untuk bersedekah, harta pada zahirnya mungkin berkurang tetapi pada hakikatnya ianya memberikan banyak kebaikan kepada orang yang menghulurkan sedekah yang berupa keberkatan, ganjaran pahala dan mungkin sahaja menjadi saham untuk dinikmati hasilnya di Akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment