Pages

Tuesday, 23 October 2012

Assalamualaikum, dan salam sejahtera.
La-ilaha-illaLlah
Allahu-Akbar
Alhamdulillah
Kita telah pun memasuki bulan terakhir dalam tahun 1433H. Di kesempatan ini, marilah kita sama-sama berbagi pengetahuan mengenai bulan yang mulia ini.

Di antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya.

Sepuluh hari yang terawal pada bulan Zulhijjah.
Beberapa dalil dari Al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:
1. Firman Allah:
Maksudnya: {Demi fajar dan malam yang sepuluh.} [Al-Fajr: 1-2]
 Kata Ibnu Kathir :: Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. [HR: Imam Bukhari].
2. Dari Ibnu Abbas t, Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” [HR: Ahmad, At-Tirmizi].
3. Firman Allah :
 Maksudnya: {Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.} [Surah Al-Haj: 28].
Kata Ibnu Abbas: Maksudnya ialah hari-hari yang sepuluh itu.
4. Dari Ibnu Umar, Rasulullah saw bersabda:
Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah I dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
5. Adalah Said bin Jubir t (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. [HR Ad-Darimi- Hasan]
.6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar :: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
 AAM: Kelebihan 10 Awal Zulhijjah, Puasa Arafah & Adab Qurban.flv     

http://www.youtube.com/watch?v=uJKqVcfJkAE



AMALAN-AMALAN YANG BAIK DILAKUKAN PADA HARI-HARI TERSEBUT:
1. SOLAT. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan. Thauban t berkata: Aku mendengar Rasulullah r bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah SWT akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” [HR Muslim]. Ini umum untuk semua waktu.
2. PUASA. Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” [HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei]
Kata Imam An-Nawawi :: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.
 
3. TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID. Ini kerana hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”
Kata Imam Bukhari :: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”
Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”
Ibnu Umar t bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah t.
Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti  orang-orang soleh yang terdahulu.
Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:
الله أَكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر كَبِيْراً.
الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إِلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. وَلِلّهِ الْحَمْد.
الله أكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر.
 لا إِلهَ إلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. الله أكْبَر . وَلله الْحَمْد.

 4. PUASA PADA HARI ARAFAH. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.
 ((صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ)) [رواه مسلم]
Maksudnya: “Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” [HR Muslim].
PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang  yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.
Subhanallah.
Saya sudahi di sini bagi renungan semua.
Wasalam


No comments:

Post a Comment