Pages

Friday, 14 January 2011

Irsyad: Belayar hari Jumaat?

Para ulama mazhab Syafi`e sepakat mengatakan bahawa sembahyang Jumaat tidak wajib ke atas orang musafir yang sedang dalam pelayaran, selama mana dia tidak berniat untuk bermuqim atau  menetap pada sesuatu tempat selama empat hari atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan balik), dan pelayarannya itu bukan kerana melakukan atau bertujuan maksiat.




Maca mana pula bagi mereka yang baru hendak memulakan pelayaran pada hari Jumaat, sedang mereka termasuk orang yang wajib menunaikan sembahyang Jumaat ? Apakah boleh memulakan pelayaran pada hari tersebut ?


Sebenarnya bagi orang yang hendak memulakan pelayaran pada hari Jumaat terdapat hukum tertentu mengenainya, seperti berikut :


Sebelum terbit fajar  : Harus memulakan pelayaran sebelum terbit fajar hari Jumaat.
Selepas sembahyang Jumaat :   Diharuskan juga memulakan pelayaran itu ketika mana sembahyang Jumaat sudah selesai didirikan.
Selepas tergelincir matahari : Tidak harus, yakni haram memulakan pelayaran selepas tergelincir matahari pada hari Jumaat, bagi orang yang wajib ke atasnya mendirikan sembahyang Jumaat.


Jika dia meneruskan juga memulakan pelayaran, maka tidak ada baginya rukhshah yakni keringanan hukum, umpamanya keringanan berbuka puasa ketika dalam pelayaran, mengqasar atau memendekkan sembahyang dan sebagainya, melainkan selepas dia terluput daripada sembahyang Jumaat barulah dia beroleh   rukhshah, kerana awal pelayarannya itu dikira mulai daripada luputnya sembahyang Jumaat.


Namun ketetapan hukum mengenai haram memulakan pelayaran selepas tergelincir matahari pada hari Jumaat itu terdapat padanya beberapa pengecualian, seperti berikut :


i)    Harus memulakan pelayaran pada waktu tersebut jika sekiranya dia boleh menunaikan sembahyang Jumaat di tempat yang dituju atau ditengah-tengah perjalanan ketika dalam pelayaran, kerana maksud daripada larangan memulakan pelayaran tersebut ialah,  supaya seseorang itu tidak terluput daripada mendirikan sembahyang Jumaat.


Namun menurut setengah ulama, sebagaimana yang ditegaskan oleh pengarang kitab al-Ta`jiz, bahawa keharusan tersebut tertakluk juga kepada keadaan bila mana ketiadaanya itu tidak akan menjejaskan bilangan (mengurangkan bilangan empat puluh orang) ahli Jumaat di tempatnya atau di perkampungannya. Jika ini berlaku tidak harus baginya memulakan sembahyang Jumaat tidak akan dapat didirikan di tempat itu.


ii)    Andaikata ada sesuatu yang mewajibkan pergi belayar, seperti belayar untuk menyempati hari `Arafah, belayar kerana menyelamatkan harta dan sebagainya, maka dalam hal ini tidak haram memulakan pelayaran walaupun selepas tergelincir matahari, bahkan wajib pergi belayar bagi tujuan-tujuan tersebut atau seumpamanya.


iii)    Begitu juga jika sekiranya perjalanan itu ditangguhkan ditakuti akan mendatangkan kemudharatan jika ditinggalkan oleh rombongan yang pergi belayar pada masa itu. Maka harus memulakan pelayaran walaupun selepas tergelincir matahari kerana untuk menolak kemudharatan.


Sebelum tergelincir matahari : Tidak harus memulakan pelayaran di antara waktu terbit fajar hari Jumaat hingga tergelincir matahari melainkan setelah menunaikan sembahyang Jumaat sebagaimana menurut qaul jadid Imam Syafi`e Rahimahullah.


Akan tetapi harus memulakan pelayaran pada waktu tersebut jika sekiranya sembahyang Jumaat boleh atau sempat dilakukan di tempat yang dituju atau ditengah perjalanan.Begitu juga jika dikhuatiri akan mendapat kemudharatan sekiranya ditinggalkan oleh teman atau rombongan seperjalanan maka harus dia memulakan pelayaran pada waktu tersebut.


Hukum ini berlaku sekiranya pelayaran itu atas tujuan yang diharuskan, seperti belayar kerana urusan perniagaan umpamanya, ataupun pelayaran itu dimakruhkan seperti belayar seorang diri tanpa teman.
Bahkan hukum ini juga merangkumi pelayaran yang berupa ketaatan yakni ibadat, sama ada ianya wajib seperti naik haji, ataupun sunat seperti belayar kerana menziarahi makam Rasulullah Sallallahu `alaihi wasallam. Inilah pendapat yang ashah sebagaimana menurut Imam Nawawi.


Memang tidak dinafikan, walaupun pada masa kini setengah jadual pelayaran sudah pun  diatur oleh pihak-pihak tertentu yang mesti dipatuhi, seperti jadual penerbangan umpamanya, tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh merencana dan memilih terlebih awal di antara  masa-masa pelayaran yang telah dijadualkan yang bersesuaian.


Umpamanya, sesuatu destinasi yang hendak dituju ini, jika menggunakan kapal terbang, kadang-kadang dalam tempoh seminggu atau dalam sehari terdapat beberapa  kali penerbangan. Jika dibuat perancangan awal dengan rapi, perkara memulakan pelayaran pada hari Jumaat sebelum sembahyang Jumaat didirikan itu boleh dielakkan. Lain halnya jika tidak ada penerbangan melainkan pada hari tersebut, ataupun ada sesuatu keperluan penting yang memaksa untuk belayar pada hari tersebut, maka diharuskan belayar pada hari itu.


Kesimpulannya, sembahyag Jumaat itu adalah suatu perkara besar, sehinggakan tidak harus memulakan pelayaran di antara waktu terbit fajar hari Jumaat hingga tergelincir matahari melainkan setelah selesai menunaikan sembahyang Jumaat.

No comments:

Post a Comment