Sujud tilawah ialah sujud kerana membaca atau mendengar ayat al-Qur‘an yang disunatkan padanya sujud.
Ini bermakna sujud tilawah itu merupakan di antara adab-adab ketika membaca al-Qur‘an. Di samping sujud tilawah ketika membaca atau mendengar ayat ‘sajdah’, ada juga tuntutan-tuntutan lain yang sunat dilakukan ketika kita membaca al-Quran umpamanya:
1. Apabila membaca ayat yang mengandungi rahmat Allah maka disunatkan memohon rahmat Nya seperti mengucapkan:
Ertinya: “Ya Allah, ampuni aku dan rahmatilah aku”
2. Apabila membaca ayat yang mengandungi azab atau siksaan maka disunatkan pula memohon perlindungan daripada azab Allah dengan mengucapkan zikir seperti berikut:
Ertinya: “Ya Allah, lindungilah aku daripada azab api neraka”
3. Apabila membaca ayat tasbih iaitu yang mengandungi pujian kepada Allah umpamanya ayat adalah disunatkan bertasbih seperti mengucapkan:
Ertinya: “Maha suci Allah”
4. Ketika membaca ayat 40 dari surah Al-Qiyamah dan ayat terakhir daripada surah Al-Tin adalah disunatkan membaca setelah itu dengan zikir:
Ertinya: “Ya, Benar! Saya adalah dari kalangan orang yang menjadi saksi ke atas perkara itu (Allah itu berkuasa menghidupkan orang yang mati,iaitu jawapan bagi ayat / Allah itu adalah hakim yang paling adil , iaitu jawapan bagi ayat
5. Apabila membaca ayat 40 Surah Al-Mursalat adalah di sunatkan untuk menyebut selepas itu dengan zikir:
Ertinya: “Kami beriman dengan Aِllah”
Semua perkara di atas sunat dilakukan oleh setiap pembaca al-Quran, termasuk imam dan juga orang yang bersembahyang secara bersendirian kerana mendengar bacaannya sendiri. Begitu juga makmum sunat ke atasnya berbuat demikian kerana mendengar bacaan imamnya atau bacaannya sendiri. Zikir-zikir kerana ayat tertentu itu adalah dibaca secara jahar (dinyaringkan) sama ada imam, makmum dan juga orang bersembahyang secara bersendirian pada sembahyang yang disunatkan menyaringkan bacaan padanya.
Perlu juga diambil perhatian bahawa lafaz zikir itu apabila di dalam sembahyang mestilah diucapkan dengan bahasa Arab dan tidak harus bahkan batal sembahyang jika dilafazkan dengan bahasa Melayu atau lainnya selain daripada bahasa Arab.
Jika perkara-perkara yang tersebut di atas ditinggalkan, tidaklah ia membatalkan sembahyang serta tidak dituntut untuk melakukan sujud sahwi kerana ia hanyalah merupakan sunat hai‘at.
Begitu juga sunat hukumnya mengucapkan zikir-zikir tersebut di atas ketika di luar sembahyang apabila mendengar ayat-ayat yang telah dijelaskan tadi.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
HUKUM SUJUD TILAWAH
Sujud tilawah adalah sunat menurut pendapat jumhur ulama. Manakala Imam Abu Hanifah (Imam mazhab Hanafi) berkata bahawa sujud tilawah itu wajib sama ada ke atas pendengar atau pembaca.Hukum sunat ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Syaikhain (Al-Bukhari dan Muslim) daripada Ibnu Umar katanya yang maksudnya :"Bahawasanya Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam telah membaca al-Qur’an, lalu Baginda membaca satu surah yang di dalamnya ada ayat ‘sajdah’, maka Baginda pun bersujud lalu kami pun sujud bersama-sama Baginda sehingga sesetengah daripada kami tidak mendapati tempat untuk meletakkan dahinya”.
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu tentang fadhilat melakukan sujud tilawah, Baginda bersabda yang maksudnya :“Apabila anak Adam itu membaca ayat al-Quran yang menuntut untuk sujud, syaitan akan mengasingkan dirinya lalu menangis dan berkata:” “Celakalah! Anak Adam telah diperintahkan untuk sujud ia pun sujud, maka baginya balasan syurga, dan aku diperintahkan untuk sujud maka aku enggan, maka balasan bagiku adalah neraka.(Hadis riwayat Ibnu Majah)AYAT-AYAT SAJDAH DI DALAM AL-QURANAyat-ayat yang disunatkan sujud setelah membacanya, menurut mazhab Asy-Syaf‘ie, adalah seperti berikut:1. Ayat ke 206 dari surah Al -A’raf.2. Ayat ke 15 dari surah Al- Ra’d.3. Ayat ke 50 dari surah Al- Nahl.4. Ayat ke 109 dari surah Al- Isra’.5. Ayat ke 58 dari surah Maryam.6. Ayat ke 17 dari surah Al- Haj.7. Ayat ke 77 dari surah Al- Haj.8. Ayat ke 60 dari surah Al -Furqan.9. Ayat ke 25 hingga 26 dari surah Al- Naml.10. Ayat ke 15 dari surah Al -Sajdah.11. Ayat ke 38 dari surah Fusshilat.12. Ayat ke 62 dari surah Al- Najm.13. Ayat pertama dari surah Al- Insyiqaq.14. Ayat ke 21 dari surah Al -Insyiqaq.15. Ayat ke 19 dari Al- ‘Alaq
Untuk mengenali ayat-ayat sajdah itu pada kebiasaannya, di dalam mushhaf ditanda dengan garis dan di penghujung ayat itu ditanda dengan tanda yang berbentuk seakan-akan dom masjid sementara itu di bidainya tertulis perkataan sajdah.Adapun hikmah pengkhususan sujud pada tempat-tempat atau ayat-ayat yang tersebut di atas kerana ayat-ayat tersebut adalah merupakan pujian bagi mereka yang bersujud dan celaan bagi yang tidak bersujud sama ada secara terang-terangan ataupun secara isyarat sebagaimana yang dinaqalkan oleh Imam Al-Qalyubiy perkataan Ibnu Hajar.(Al-Hasyiyatan 1/235).
BILA WAKTU SUNAT SUJUD TILAWAH ITU DILAKUKAN ?
Sujud tilawah itu sunat dilakukan apabila ayat sajdah itu dibaca di luar sembahyang bukan pada waktu-waktu yang makruh menunaikan sembahyang sama ada ia bertujuan untuk melakukan sujud atau tidak.Begitu juga sunat melakukan sujud tilawah ketika dalam sembahyang jika dibacakan ayat sajdah tersebut. Tetapi tidak disunatkan melakukan sujud tilawah jika membaca ayat sajdah itu semata-mata bertujuan (qasad) untuk melakukan sujud, kecuali jika ia membacanya pada sembahyang fardhu Subuh pada hari Jumaat adalah sunat ia melakukan sujud tilawah sekalipun ia bertujuan membacanya untuk sujud.Berdasarkan keterangan di atas tidak sunat melakukan sujud pada waktu makruh menunaikan sembahyang sekalipun ayat sajdah dibaca di luar sembahyang begitu juga ketika dalam dalam sembahyang dengan tujuan membaca ayat sajdah itu untuk melakukan sujud. Bahkan jika dibaca dalam sembahyang denganqasad sujud tilawah lalu dia bersujud maka batallah sembahyangnya itu.
HUKUM MEMBACA AYAT SAJDAH
Jika ayat sajdah itu dibaca pada waktu yang dimakruhkan menunaikan sembahyang bukan untuk tujuan sujud, tidaklah dilarang membacanya tetapi tidak disunatkan bersujud padanya, namun jika dia bersujud juga tidaklah batal sujudnya itu. Begitu juga jika dibaca ayat sajdah pada waktu makruh tersebut dengan tujuan melakukan sujud tilawah selepas waktu makruh maka tidaklah disunatkan sujud dan hukum bacaannya pada ketika itu pula adalah makruh.
Berlainan halnya jika dibaca pada waktu makruh atau sebelumnya dengan maksud untuk sujud pada waktu makruh maka dihukumkan bacaannya itu haram dan sujud tersebut adalah batal dan tidak dikira.(Al-Hasyiyatan 1/235)
SYARAT-SYARAT SUJUD TILAWAH
Di dalam kitab Al-Majmuk menurut Ashhab Syafi‘ieyah bahawa hukum sujud tilawah itu sama seperti hukum sembahyang sunat dari segi syarat-syarat sahnya sujud itu, syarat-syarat itu adalah seperti berikut:(i) Bersih daripada hadas kecil atau besar dan juga bersih daripada najis sama ada pada tubuh badan, pakaian dan juga tempat.(ii) Orang yang hendak melakukan sujud tilawah itu juga di kehendaki dalam keadaan menutup aurat.(iii) Untuk melakukannya hendaklah menghadap kiblat.(iv) Hendaklah masuk waktunya ketika melakukan sujud itu. Adapun masuknya waktu sujud itu ialah sejurus sahaja ia selesai mambaca atau mendengar keseluruhan ayat sajdah. Jika sekiranya ia bersujud sebelum lagi habis ayat itu di bacanya atau didengarnya maka sujud tilawah itu tidak sah dan tidak memadai.
SUJUD TILAWAH DI DALAM SEMBAHYANGCara untuk melaksanakan sujud tilawah itu ada dua keadaan iaitu ketika dalam keadaan bersembahyang dan di luar sembahyang.
Sujud tilawah boleh dilakukan di dalam sembahyang, bahkan hukumnya adalah sunat, sama ada sembahyang itu dilakukan secara persendirian atau berjemaah. Kedudukan makmum pula untuk melakukan sujud tilawah itu, bergantung kepada imam. Jika imam bersujud kerana ayat sajdah iaitu ayat yang menuntut sujud, maka wajib ke atas makmum mengikuti perbuatan imam dengan melakukan sujud itu kerana jika tidak, maka batallah sembahyangnya.Sebaliknya jika imam tidak melakukannya maka makmum adalah tidak dikehendaki untuk melakukan sujud. Jika dilakukannya juga, maka sembahyangnya menjadi batal. Akan tetapi harus dan sunat hukumnya bagi makmum melakukan sujud tilawah selepas selesai memberi salam dengan syarat jarak di antara sujud dan salam itu tidak lama.Jika sekiranya makmum tidak mengetahui bahawa imam telah melakukan sujud tilawah sehinggalah imam mengangkat kepalanya daripada sujud, maka tidaklah batal sembahyang makmum itu. Dia dimaafkan kerana tertinggalnya daripada perbuatan imamnya itu dan juga tidak dikehendaki melakukan sujud.
Sujud tilawah adalah sunat dilakukan di dalam sembahyang sama ada pada sembahyang yang dinyaringkan bacaan (jahar) atau pada sembahyang yang dibaca secara suara perlahan (sir). Walau bagaimanapun bagi sembahyang yang tidak disunatkan menyaringkan suara, sujud tilawah itu sunat dibuat oleh imam setelah dia selesai menunaikan sembahyang supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan makmum. (Nihayah Al-Muhtaj 2/100)Diambil daripada illah di atas (sembahyang yang dibaca secara suara perlahan) maka begitu juga halnya pada sembahyang yang disunatkan menyaringkan suara (jahar), sunat (mustahab) bagi imam melakukan sujud tilawah setelah selesai sembahyang, jika (diketahui) jarak di antara imam dan makmum itu jauh sehingga dia tidak mendengar bacaan imam atau tidak dapat melihat perbuatan imam atau diselangi oleh dinding dan sebagainya bagi mengelakkan kekeliruan para makmum. (Nihayah Al-Muhtaj 2/100)Adapun cara melakukannya ketika di dalam sembahyang hendaklah dia sujud dengan disunatkan dia bertakbir tanpa mengangkat tangannya kerana tangan tidak diangkat ketika hendak melakukan sujud di dalam sembahyang.Selepas sujud iaitu bangun dari sujud tersebut untuk bangkit semula meneruskan sembahyangnya, maka disunatkan ia bertakbir. Dia tidak wajib berniat untuk menunaikan sujud tilawah di dalam sembahyang kerana ia sudah terkandung di dalam niat sembahyang (iaitu dengan terkandungnya niat sujud itu kerana bacaannya) sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Khatib.(Al-Hasyiyatan1/238) Tetapi jika ia berniat juga hendaklah jangan di lafazkan kerana dengan lafaz itu boleh menyebabkan sembahyangnya itu terbatal.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
SUJUD TILAWAH DI LUAR SEMBAHYANG
Sepertimana yang telah dijelaskan bahawa sujud tilawah itu sunat juga dilakukan di luar sembahyang iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam sembahyang.
Niat sujud tilawah ini adalah wajib bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam :
Maksudnya: “Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat”
Begitu juga dengan takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah itu menurut pendapat al-ashah.
Di samping berniat di dalam hati ia juga disunatkan melafazkan niatnya itu, seperti:
Ertinya:“Sahaja aku melakukan sujud tilawah kerana Allah Ta‘ala”
Kemudian itu bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya. Apabila hendak bangun dari sujud adalah disunatkan ketika mengangkat kepalanya dengan bertakbir.
Adalah disunatkan menurut pendapat al- shahih memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga ia meletakkan dahinya ke tempat sujud, dan juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula.(Al-Majmuk 3/561)
Setelah ia bangun dari sujud maka disudahi dengan salam iaitu dalam keadaan dia duduk tanpa bertasyahhud. Salam menurut pendapat al-azhar adalah wajib kerana ia merupakan syarat sebagaimana di dalam kitab Syarah Al-Minhaj.
Kesimpulannya perkara yang dituntut yang juga merupakan rukun sujud tilawah bagi yang melakukannya bukan di dalam sembahyang ialah niat sujud, takbir seperti yang dilakukan ketika hendak mengangkat takbir untuk menunaikan sembahyang, sujud dan juga salam.
Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar sembahyang ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud.(At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)
BACAAN ATAU ZIKIR KETIKA SUJUD TILAWAH
Adalah sunat hukumnya membaca zikir ketika di dalam sujud tilawah. Di antara zikir yang di galakkan itu ialah:
Ertinya: “Telah sujud wajahku kepada (Allah,Zat) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya maka Maha berkat (serta maha tinggilah kelebihan) Allah sebaik-baik Pencipta”
Dan zikir yang lain sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya : “Ya Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud”
(Hadis riwayat Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)
Sementara itu Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :
Ertinya: “Maha suci tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana”
Walau bagaimanapun adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud sembahyang.
Menurut Imam Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:
Ertinya:“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.
Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul masjid.(Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)
APA DIA SUJUD SYUKUR ITU ?
Sujud syukur ialah sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau atas terhindarnya seseorang dari malapetaka.
HUKUM SUJUD SYUKUR
Jumhur ulama berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya yang maksudnya :
“Sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku. Jibril berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau: “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya” Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam jika sampai kepada Baginda sesuatu perkara yang menggembirakannya, Baginda akan melakukan sujud.(Syarah Al-Minhaj)
Sujud syukur di dalam mazhab Asy-Syafi‘ie tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ianya hanya sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.
Di antara sujud yang dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25 daripada surah Shad iaitu:
Tafsirnya: “Maka Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan mempunyai tempat kembali yang baik”.
Dari itu sujud kerana ayat ini tidak boleh dibuat di dalam sembahyang kerana sujud pada ayat di atas adalah atas dasar syukur dan sujud syukur tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Jika dia sujud maka batallah sembahyangnya menurut pandapat al-ashah, kecualilah jika ia tidak mengetahuinya atau ia terlupa.
BAGAIMANA SUJUD SYUKUR DILAKSANAKAN ?Sujud syukur dilaksanakan sama halnya seperti melakukan sujud tilawah ketika ia dilakukan di luar sembahyang iaitu berniat untuk melakukan sujud syukur,takbir,sujud dan juga salam.
Syarat-syarat sahnya juga sama seperti syarat-syarat yang terkandung di dalam sujud tilawah iaitu suci dari hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap kiblat.
Dari segi zikir yang sunat dibaca ketika sujud syukur ini adalah sama seperti zikir-zikir yang telah dijelaskan di dalam sujud tilawah.
Begitulah cara Islam mengajarkan kita bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau terlepas daripada bala. Di samping sunat melaksanakan sujud syukur disunatkan juga bersedekah dan melakukan sembahyang sunat syukur. ( Mughni Al-Muhtaj 1/219). Menurut Al-Khawarizmi pula, jika ia menggantikan tempat sujud itu dengan bersedekah atau sembahyang dua rakaat maka itu adalah yang lebih baik.
Menurut Imam Al-Ramli bahawa sujud syukur itu terluput waktunya jika jarak di antara sujud itu dan sebabnya terlalu lama.
PENUTUP
Sujud tilawah dan sujud syukur seperti yang dijelaskan di atas merupakan satu ibadat yang tuntutannya adalah sunat. Cara melakukannya pun mudah tetapi nilainya tinggi di sisi Allah sepertimana yang dijelaskan oleh hadis Baginda tentang kelebihan sujud tilawah. Dari itu, sayugialah diingatkan supaya jangan dilepaskan peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun ia hanya merupakan tuntutan sunat tetapi dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dan tidak mengabaikan ajaran Islam.