Pages

Friday, 4 February 2011

Rambut dan "dye"?


Dalam Islam rambut mempunyai peranan dan hukum tertentu, seperti wajib membasuh sebahagian rambut ketika berwuduk, bertahallul (mencukur atau mengunting rambut) ketika melakukan haji, mencukur rambut anak damit yang baru lahir dan sebagainya. Kerana itu Islam menuntut ia dipelihara dan dijaga dengan baik sehingakan setelah dicukur atau digunting sunat pula ditanam.

Inilah kecantikan Islam dalam memelihara anggota badan manusia sama ada hidup atau mati, sama ada rambut itu masih kekal di kepala atau sebaliknya sudah berpisah, hendaklah ianya dihormati dan dimuliakan sesuai dengan firman AllahSubahanhu wa Ta’ala:

Tafsirnya"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam".
(Surah Al-Isra’: 70)

Berdasarkan ayat di atas, ulama sepakat tidak harus mengambil manfaat dengan rambut manusia seperti dijual atau digunakan untuk dipakai. Juga tidak boleh dihina atau direndah-rendahkan setiap daripada anggota tubuh badan manusia itu seperti membuang rambut merata-rata atau membuang kaki manusia yang rosak ke dalam tong sampah dan sebagainya. (Al-Mausuah Al-Fiqhiyah: 26/102

Perkataan ulama itu disokong dengan hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dan menjadi dalil kepada sucinya rambut manusia itu sama ada dia hidup mahupun mati. Daripada Anas bin Malik katanya:

Maksudnya"Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melontar jumrah dan menyembelih binatang kurbannya serta mencukur rambut, lalu tukang cukur mencukur (mendahulukan) rambut Baginda sebelah kanan kemudian Baginda memanggil Abu Thalhah Al-Anshari dan memberikan rambut Baginda kepadanya.
Selepas itu tukang cukur mencukur rambut Baginda di sebelah kiri sambil bersabda: "Cukurlah". Lalu tukang cukur mencukurnya kemudian Baginda memberikan rambut itu kepada Abu Thalhah.

Maka Baginda bersabda lagi: "Berikanlah rambut itu kepada orang lain".
(Hadis riwayat Muslim)

Menurut Imam An-Nawawi adalah mustahab (dituntut) memulakan cukuran sebelah kanan daripada kepala orang yang dicukur, inilah perkataan jumhur ulama. Hadis ini juga dalil mengenai kesucian rambut manusia sebagaimana pendapat jumhur ulama dan itulah yang sahih. Begitu juga harus mengambil berkat dengan rambut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam(Sahih Muslim Syarh An-Nawawi: 3/438-439)

Dalam pada itu Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam juga menuntut umatnya memuliakan rambut sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu di dalam hadis marfu‘:

Maksudnya: "Daripada Abi Hurairah bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa yang mempunyai rambut hendaklah ia dimuliakan"
(Hadis riwayat Abu Dawud)

Menurut kitab ‘Aun Al-Ma‘bud, memuliakan rambut itu ialah dengan mendandan, membersihkannya dengan air (mandi), melumur dengan minyak dan mengelokkannya (menyisirkannya) sebagaimana beliau berkata:

Maksudnya"Iaitu hendaklah rambut itu didandan, dibersihkan dengan mandi, dilumur dengan minyak, disisir dan jangan rambut itu kusut masai (kerana) sesungguhnya kebersihan dan elok dipandang adalah disukai/dituntut".

Berdasarkan suruhan dan tuntutan menghias rambut tersebut, muncul tren baru zaman moden ini iaitu dengan mewarna (dye) rambut.

Bolehkah Mewarna (Dye) Rambut?
Mewarnai rambut yang beruban adalah sunat. Begitu juga dengan janggut yang beruban. Manakala warna yang dibenarkan ialah kekuningan atau kemerahan. Inilah pendapat yang disepakati oleh para ashab(Al-Majmuk: 1/360-362 : kitab thaharah, bab as-siwak) Perkara sunat ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya"Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Bahawasanya orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnai (rambut atau janggut mereka), kerana itu buatlah kelainan daripada mereka".
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa ketika Abu Quhafah (ayah kepada Sayidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu) di bawa ke hadapan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada hari pembukaan Mekkah yang mana ketika itu rambut dan janggutnya dipenuhi dengan uban, lalu Baginda bersabda:

Maksudnya"Tukarkan (warna uban) itu dengan sesuatu dan jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam".(Hadis riwayat Muslim)

Sementara itu pula rambut yang tidak beruban adalah sayugianya ia dikekalkan atau dibiarkan sepertimana aslinya. Ia tidak perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu yang memerlukan ianya diwarnakan umpamanya untuk tujuan perubatan.

Larangan Mewarnai Rambut Dengan Warna Hitam
Para fuqaha pula sepakat mencela perbuatan mewarnai rambut dengan warna hitam. Adapun pendapat yang sahih mengatakan bahawa ianya haram digunakan melainkan ke atas orang-orang yang berjihad. (Al-Majmuk: 1/360-362) Dalil haram mewarnai rambut dengan warna hitam itu adalah berdasarkan riwayat daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya"Pada hari penaklukkan Mekkah, dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya berwarna putih seperti tsaqhamah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih).
Maka Baginda bersabda: "Tukarlah ini dengan sesuatu (yang lain), tetapi jauhilah (daripada menggunakan) warna yang hitam". (Hadis riwayat Muslim)

Sementara hadis daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya:
Maksudnya"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Di akhir zaman akan banyak kaum yang mewarnai rambut dengan warna hitam, seperti dada burung merpati, mereka tidak dapat menikmati harumnya bau syurga". (Hadis riwayat Abu Dawud)

Tidak syak lagi perbuatan mewarnakan rambut dengan warna hitam sudah disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam beberapa abad yang lalu. Kenyatannya sudah dapat dilihat kebenarannya. Oleh itu jauhilah perbuatan mewarnakan rambut tanpa tujuan atau dengan pewarna hitam.

Dye Rambut Yang Dijual Dipasaran

Mewarna rambut itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dengan alasan bahawa pewarna yang digunakan itu adalah halal ataupun suci.

Pada kebiasaannya pewarna rambut yang biasa dijual di kedai-kedai akan digunakan untuk mewarnakan rambut yang sebahagiannya dikatakan halal digunakan kerana dicop dengan perkataan HALAL oleh negara pengeluar. Setakat manakah kehalalan pemakaian bahan pewarna tersebut dan apakah ia tidak menghalang sampainya air ketika mengangkat hadas kecil dan besar?

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi junub atau mengangkat hadas kecil (wuduk). Ini bererti air yang bersih wajib sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi junub itu atau sebahagiannya ketika berwuduk. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tiadalah sah mandi hadas dan wuduk berkenaan. Sehubungan dengan itu ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas atau wuduknya itu tidak terangkat.
Dari itu sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat atau melapis rambut, sekalipun ianya suci maka ia sudah pasti menghalang air untuk sampai ke rambut. Jika ini terjadi, maka mandi junub umpamanya dalam keadaan rambut diwarnakan dengan bahan tersebut (menghalang air sampai ke rambut) adalah tidak sah dan ini akan menyebabkan ibadahnya seperti sembahyang tidak sah kerana hadasnya tidak terangkat.

Berbeza halnya, jika pewarna rambut itu tidak melekat di atas rambut seperti ia sifatnya meresap sepertimana meresapnya inai (pacar) pada jari dan kuku. Ini tiada menghalang air dari sampai ke bahagian yang wajib dibasuh.

Meniru Gaya Dan Fesyen Orang Kafir
Perbuatan mewarnakan rambut dengan bentuk atau gaya sepertimana fesyen dan penampilan orang-orang kafir yang tidak sesuai dengan akhlak Islam sebagaimana yang kita saksikan telah menjadi ikutan atau idola anak-anak Islam zaman sekarang, maka perbuatan itu adalah haram sekalipun pewarna yang dipakai itu suci. Dengan melakukan perbuatan itu bererti mengikut budaya orang bukan Islam. Ini adalah perkara yang dilarang oleh hukum syara‘ kerana larangan menyerupai mereka disebut oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabda Baginda:

Maksudnya"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dari golongan mereka"
(Hadis riwayat Abu Dawud)

Menurut Ibnu Al-Qaiyim Al-Jawjiyah menyerupai mereka dari sudut penampilan zahiriyah merupakan satu jalan ke arah menyerupai mereka dari segi maksud dan perbuatan. Ianya juga sebenarnya timbul atas dasar suka dan menganggap ianya adalah satu perkara yang baik. Apabila seseorang itu menganggap kelakuan orang kafir itu satu kebaikan maka cenderunglah dirinya untuk memperbuatnya.

Apabila dia sudah melakukannya buat pertama kali nescaya akan diulanginya untuk kali kedua dan seterusnya sehingga menjadi adat atau kebiasaan kepada dirinya. Jika ini berlaku akan lenyaplah nilai-nilai Islam di dalam dirinya itu.

Dari itu perbuatan menyerupai orang-orang kafir itu adalah sangat ditegah sekalipun tanpa bertujuan meniru perbuatan mereka itu demi menjaga iman dan akidah umat Islam daripada terjebak ke arah perkara yang membawa kufur.Wal‘iyazubillah.

Sementara itu khusus bagi wanita yang mewarna rambut, sudah tentu akan membawa kepada mendedahkan aurat, kerana tujuan mewarnakan itu sendiri adalah untuk ditonton dan disaksikan. Jika yang menyaksikan itu mahramnya maka tiadalah menjadi haram, tetapi jika bukan, yakni lelaki ajnabi (asing) maka perbuatan mendedahkan aurat di hadapan orang bukan mahram itu hukumnya adalah haram.

Penutup
Mewarnakan uban yang tumbuh pada rambut kepala adalah sunat sama ada lelaki atau perempuan. Warna yang disunatkan untuk digunakan pula ialah kuning atau merah kecuali warna hitam. Walau bagaimanapun harus mewarnakan uban itu dengan pewarna hitam sekiranya bertujuan untuk menakutkan pihak musuh ketika berjihad. Begitu juga perempuan diberi kelonggaran menggunakan pewarna hitam bagi tujuan berhias untuk suaminya, sebagaimana yang disebutkan oleh Ishaq bin Rahawiyah. (Al-Majmuk: Kitab At-Thaharah, Bab As-Siwak (1/360-362) Demikian juga menurut Syihab Ar-Ramli, harus bagi perempuan yang bersuami mewarnai rambutnya dengan warna hitam jika dengan izin suami. (Bughyah Al-Musytarsyidin: Bab Aqiqah (m/s:78)

Perkara tanda atau logo HALAL pada barang gunaan bukanlah ia suatu jaminan bahawa benda itu boleh dipakai, kerana penipuan boleh saja berlaku bahkan telah pun banyak berlaku, di mana pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan label halal semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan pengguna.

Jika sifat pewarna rambut itu menghalang air sampai ke rambut, maka ia tidak boleh dipakai sekalipun ia suci. Walaupun pada label halal atau suci disebutkan, namun lebih selamat ditinggalkan demi menyelamatkan diri daripada syubhah. Lagipun tiada jelas dari segi keperluan memakainya. Oleh itu menjauhi perkara syubhah atau samar-samar itu merupakan tuntutan syara‘. Dengan menjauhinya akan terpeliharalah agama. Sesuai dengan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam;

Maksudnya"Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau"
(Hadis riwayat At-Tirmizi & An-Nasai’)

Sabda Baginda lagi:
Maksudnya"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia telah memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram. Seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa di dalam badanitu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah itulah dia hati".
(Hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim)

No comments:

Post a Comment