Pages

Monday, 26 July 2010

Puasa di Bulan Sya'ban

Hukum berpuasa di bulan Sya‘ban adalah sunat. Malahan berpuasa di bulan Sya‘ban merupakan amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri sebagaimana yang telah dinyatakan dalam beberapa hadis, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya:

“Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa sehingga kami mengatakan Baginda tidak berbuka, dan Baginda berbuka sehingga kami mengatakan Baginda tidak berpuasa. Saya tidak pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyempurnakan puasa satu bulan kecuali pada bulan Ramadhan dan saya tidak pernah melihat Baginda berpuasa lebih banyak daripada (puasa) Baginda pada bulan Sya‘ban.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)


Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa beliau pernah ditanya mengenai puasa yang dikerjakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu ‘Aisyah pun menjawab:

Maksudnya:

“(Saya pernah melihat) Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam kerap berpuasa sehingga kami mengatakan bahawa Baginda berpuasa terus tanpa berbuka. (Namun) Baginda juga pernah berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami mengatakan bahawa Baginda berbuka terus tanpa berpuasa. (Tetapi yang jelas) aku tidak pernah mendapati Baginda berpuasa pada manamana bulan yang lebih banyak daripada puasa Baginda pada bulan Sya‘ban. Baginda berpuasa bulan Sya‘ban (hampir) sebulan penuh, (iaitu) Baginda berpuasa bulan Sya‘ban kecuali sedikit sahaja (hari Baginda tidak berpuasa).”

(Hadis riwayat Muslim)


Dalam hadis yang lain pula:

Maksudnya:

“Bahawa Baginda berpuasa di bulan Sya‘ban keseluruhannya sehingga Baginda menyambungnya dengan puasa bulan Ramadhan.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)


Dapat difahami daripada beberapa hadis yang telah dikemukakan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada bulan Sya‘ban hampir sebulan penuh dan juga pernah menyambung puasa bulan Sya‘ban sehingga puasa Ramadhan. Amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa di bulan Sya‘ban dapat dirumuskan seperti berikut:

Pada satu tahun itu Baginda berpuasa bulan Sya‘ban sebulan penuh, manakala pada tahun yang lainnya Baginda berpuasa hampir keseluruhannya dan Baginda juga pernah berpuasa sebahagiannya sahaja. Baginda pernah berpuasa pada awal bulan Sya‘ban, pertengahan dan juga pada akhirnya. Namun tidak pernah sekali-kali Baginda meninggalkan berpuasa dalam bulan Sya‘ban.

Adapun rahsia Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyakkan berpuasa pada bulan ini adalah disebabkan oleh beberapa perkara sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid katanya:

Maksudnya:

“Wahai Rasulullah! Aku belum pernah melihat Tuan berpuasa (pada) satu bulan daripada bulan-bulan sebagaimana (banyaknya) Tuan berpuasa di bulan Sya‘ban.”

Baginda bersabda: “Yang demikian itu kerana ianya merupakan bulan di mana manusia lalai mengenainya (bahawa ia terletak) di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan, dan ia adalah bulan di dalamnya diangkat amalan-amalan manusia kepada Allah Rabbul ‘Alamin, maka aku suka supaya diangkat amalanku sedang aku di dalam keadaan berpuasa.”

(Hadis riwayat an-Nasa’ie)

No comments:

Post a Comment