Pages

Friday, 30 July 2010

Nisfu Sya’baan

Pendahuluan

Bulan Sya'baan adalah antara bulan-bulan Islam yang mulia dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Di bulan Sya'baan ini, umat Islam digalakkan untuk bertaubat dan memohon keampunan dan keredaan Allah Subhanahu Wata’ala kerana bulan Sya'baan adalah antara bulan mulia di sisi Allah yang membawa keberkatan, rahmat, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada mengajarkan dan menyarankan umatnya tentang amalan-amalan yang Baginda sering lakukan di bulan tersebut, antaranya ialah memperbanyakkan puasa sunat, memperbanyakkan doa, zikrullah dan berselawat keatas Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Amalan-amalan lain yang baik dilakukan pada bulan ini ialah bersedekah, bersembahyang sunat, bertasbih, berwirid, memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata’la dan lain-lain amalan yang boleh membantu memdekatkan diri kepada Allah.

Nisfu Sya’baan
Di dalam bulan Sya’baan terdapat satu malam yang dikenali dengan ‘Nisfu Sya’baan’ (pertengahan bulan Sya’baan). Adapun malam Nisfu Sya'baan ini mempunyai keistimewaan dan merupakan salah satu malam yang paling mustajab (doa dimakbulkan), malam pengampunan dan merupakan malam yang penuh dengan rahmat, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majjah, maksudnya: "Dari Yahya ibni Abi Khasir, dari Irwah dari Aisyah Radiallahuanha berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala menurunkan rahmat-Nya (memakbulkan doa) pada malam Nisfu Sya'baan ke langit bawah (langit dunia), maka Allah Subhanahu Wataala mengampunkan hamba-hamba-Nya lebih banyak bilangannya daripada bulu kambing Kabilah Bani Kalib".

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam riwayat Ibnu Majah, maksudnya: Dari Abi Musa al-Asya'ari dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda:

Sesungguhnya rahmat Allah Subhanahu Wataala datang pada malam Nisfu Sya'baan, lalu dia mengampunkan kesalahan kesemua makhluknya melainkan orang musyrik atau orang yang bermusuhan.

Bulan Sya'baan, keagungan malamnya dengan Nisfu Sya'baan seperti keagungan Ramadan dengan Lailatulqadarnya. Maka pada Malam Nisfu Sya'baan telah datang Malaikat Jibril kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lalu katanya:

"Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang menyekutukan (syirik) dengan-Nya sesuatu kecuali tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak, derhaka terhadap ibu bapa. Allah menjelaskan kepada hamba-Nya pada Malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa segala makhlukNya melainkan orang syirik dan orang yang tidak bertutur dengan saudaranya."

Disebutkan di dalam Kitab Iqna' bahawa Malaikat Jibril bersungguh-sungguh pada Malam Nisfu Sya'baan menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Kali keduanya katanya :
"Ya Muhammad! Gembirakanlah kamu bahawa Allah Subhanahu Wata'ala telah mengampunkan segala umatmu orang yang tidak menyekutukan-Nya sesuatu, angkatkan kepalamu, lalu Rasulullah mengangkatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu Syurga."

Malam Nisfu Sya'baan adalah Hari Raya bagi para malaikat, begitu juga pada Malam Lailatulqadar mereka tidak tidur, dipenuhi dengan amal dan ibadat sepanjang malamnya. Dan bagi anak-anak Adam berhari raya pada siang hari dengan berpuasa dan ibadat, kerana mereka tidur pada malamnya.

Allah tidak akan mengampunkan dosa pada Malam Nisfu Sya'baan enam orang :
1. Orang yang kekal minum arak.
2. Orang yang derhaka kepada dua ibu bapanya.
3. Orang yang kekal dalam zina.
4. Orang yang banyak berkelahi.
5. Orang yang melakukan perjualan dengan sumpah yang dusta.
6. Orang yang memperlagakan orang supaya berkelahi.

Pada Malam Nisfu Sya'baan setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turunkan ke langit dunia lalu berfirman yang bermaksud :

"Adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintaannya, adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang bertaubat maka Aku taubatkannya dan diampunkan bagi sekalian orang mukmin lelaki dan perempuan melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya."

Kita digalakkan untuk menambah amal ibadat pada malam Nisfu Sya’baan untuk menghidupkan lagi malam tersebut.
Al-Imam Ibnu Majah meriwayatkan dari Ali Radiallahuanhu katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Apabila tiba malam pertengahan Sya'baan maka hendaklah menghidupkan malam itu (dengan beramal ibadat) dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala turun pada waktu itu lantaran terbenamnya matahari ke langit dunia dan berfirman: ‘Siapa yang memohon keampunan maka Aku akan meng- ampunkannya, siapa yang meminta rezeki maka Aku akan kurniakan kepadanya rezeki, siapa yang ditimpa bala Aku akan melepaskannya, adakah kamu ... adakah kamu (berturutan pertanyaan dari Allah Subhanahu Wata’ala) sehinggalah terbitnya fajar subuh".

Di Negara Brunei Darussalam, umat Islam juga tidak ketinggalan menghidupkan malam Nisfu Sya’baan. Salah satu amalan yang seringkali diamalkan dan dilakukan ialah membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas Sembahyang fardhu Maghrib dan setiap kali lepas membaca Surah Yasin, membaca doa. Pada bacaan Surah Yaasiin pertama diniatkan memohon agar dipanjangkan umur dengan beramal ibadat kepada Allah Subhanahu Wataala, pada bacaan kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan daripada bala bencana dan pada bacaan kali ketiga diniatkan memohon agar dimurahkan rezeki yang halal lagi bermanfaat.

Selain itu bagi menghidup malam Nisfu Sya'baan ialah dengan berzikir, membaca al-Quran dan lain-lain amalan yang berfaedah dan berkebajikan dengan niat untuk mendapatkan pahala, rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wataala.

Disamping itu juga kita bolehlah menghidupkan malam tersebut dengan memperbanyakkan sembahyang-sembahyang sunat seperti Sembahyang Sunat Mutlak, Sembahyang Sunat Tasbih, Sembahyang Sunat Hajat dan sebagainya.

Namun dalam keghairahan kita membesarkan malam Nisfu Sya'baan ini kita perlu berhati-hati agar tidak terjerumus kedalam perkara-perkara Bid'ah, seperti melakukan sembahyang sunat Nisfu Sya'baan, kerana Sembahyang Sunat Nisfu Sya'baan ini sebenarnya tidak sabit dalam ajaran Islam.

Penutup

Walaupun malam Nisfu Sya’baan telah berlalu, kita masih digalakkan agar memperbanyakkan dan melipatgandakan amal ibadat di dalam bulan Sya'baan yang mulia ini, mudah- mudahan apa jua amalan dan amal ibadat yang dilakukan akan mendapat keberkatan dan keredaan Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud:

"Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu pada-Nya, kerana kelebihan Sya'baan atas segala bulan seperti kelebihan-Ku atas kamu.

Sebahagian ahli hikmah berkata:

"Sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk minta ampun daripada segala dosa, bulan Sya'baan adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam cela dan pada bulan Ramadan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa".

Wallahua'lam.
Rujukan:
- Khutbah Jumaat Brunei
- Pelita Brunei

No comments:

Post a Comment