(petikan Khutbah Jumaat Brunei, 2hb Julai 2010)
Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Bulan Rejab adalah di antara bulan-bulan yang mulia dalam Islam. Dalam bulan ini telah mencatatkan satu sejarah penting bagi seluruh umat Islam iaitu berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada 27 Rejab. Oleh itu pada setiap menjelang hari tersebut, seluruh umat Islam meraikannya dengan rasa syukur dan gembira bagi mengingati peristiwa yang menakjubkan dan luar biasa tersebut. Ini termasuklah juga negara kita Brunei Darussalam yang meraikannya pada setiap tahun dengan mengadakan pelbagai majlis ilmu dan keagamaan.
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan anugerah Allah Subhanahu Wata'ala kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan anugerah ini merupakan antara mukjizat terbesar Baginda yang tidak pernah dikurniakan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul sebelumnya. Peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah satu peristiwa ghaib yang tidak dapat dicapai oleh pemikiran manusia. Israk dan Mikraj ialah peristiwa dimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah diisrakkan (diperjalankan) dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin dan telah dimikrajkan (dinaikkan) ke langit menuju ke Sidratul Muntaha dalam waktu yang singkat iaitu hanya sepertiga malam. Jika difikirkan jarak antara Masjidil Haram dengan Masjid Al-Aqsa adalah jauh, lebih-lebih lagi naik ke langit hingga ke langit yang ketujuh. Dalam peristiwa tersebut Baginda juga diperlihatkan pelbagai kejadian luar biasa antaranya nikmat syurga dan azab api neraka.
Namun sebagai umat Islam, kejadian luar biasa itu merupakan suatu yang tidak mustahil terjadi, ia berlaku dengan Kehendak dan Kekusaan Allah Subhanahu Wata'ala. Akan tetapi perkara inilah yang menjadi dugaan dan cabaran bila mana Baginda menceritakan pengalamannya itu kepada penduduk Mekah dengan harapan golongan kafir Quraisy akan beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh kerana peristiwa tersebut berlaku di luar logik akal dan luarbiasa, maka ada di antara penduduk Mekah yang tidak yakin dengan kebenaran peristiwa tersebut sehingga mereka mengatakan Baginda adalah seorang pendusta. Walau bagaimanapun terdapat juga di kalangan para sahabat yang tetap teguh imannya dan mempercayai apa jua yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, antaranya Sayidina Abu Bakar As Siddiq.
Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj telah disebut dalam Al-Quran dalam surah Al-Israa' ayat 1 tafsirnya :
"Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) pada malam hari daripada Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya Kekuasaan dan Kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".
Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebelumnya berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda benar-benar berada dalam kesedihan. Baginda kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat dikasihi iaitu isteri Baginda Sayidatina Khadijah dan bapa saudara Baginda iaitu Abu Talib. Wafatnya Sayidatina Khadijah bukan sekadar kehilangan seorang isteri yang telah menumpahkan taat setia, kasih sayang dan ketabahan yang luar biasa dalam menghadapi kepayahan dan penderitaan hidup bersama Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tetapi Sayidatina Khadijah juga merupakan sumber kekuatan serta inspirasi dalam perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengembangkan dakwah Islam.
Demikian juga dengan kewafatan bapa saudara Baginda Abu Talib yang merupakan orang kuat yang melindungi dan membela Baginda daripada ancaman orang kafir Quraisy. Ini kerana kedudukan Abu Talib sebagai orang yang disegani di kalangan bangsa Arab sehingga orang kafir Quraisy tidak berani menganggu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam secara terang-terangan. Namun setelah kewafatannya, orang kafir Quraisy berani menganggu dan mengancam Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Setelah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merasakan pergerakan dakwah di Mekah semakin sempit, Baginda meluaskan dakwah ke Taif. Namun penduduk Taif bukan sahaja menolak dakwah Baginda bahkan melemparkan pelbagai cacian, penghinaan dan penganiayaan terhadap Baginda. Dalam keadaan kesedihan yang dihadapi, maka Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan Malaikat Jibril Alaihissalam membawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk diisrak dan dimikrajkan.
Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, terdapat beberapa hikmat yang boleh dijadikan pengajaran yang amat berguna sekali untuk umat Islam antaranya ialah :
Pertama : Agar manusia sentiasa mewujudkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wata'ala, dikala senang dan susah. Ini kerana hanya Allah Subhanahu Wata'ala sahajalah yang mampu memberi pertolongan dan menghilangkan rasa kesedihan dan kesusahan dalam diri manusia. Sebagaimana kita lihat sejarah sebelum terjadi Israk dan Mikraj, Baginda telah ditimpa musibah tetapi Baginda tetap meneruskan dakwah dalam menyebarkan agama Islam. Ia memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi ketika menerima ujian yang berupa musibah dan kepayahan dan sebagainya.
Kedua : Peristiwa Israk dan Mikraj itu juga adalah untuk memperlihatkan akan kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala sebagai pencipta agar keyakinan terhadap Kekuasaan-Nya benar-benar tumbuh dalam jiwa manusia.
Ketiga : Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah dibawa melihat keadaan syurga dan neraka. Di dalam syurga Baginda melihat kenikmatan yang bakal diperolehi oleh hamba-hamba Allah yang beriman. Manakala di dalam neraka pula Baginda menyaksikan pelbagai bentuk penyeksaan yang amat dahsyat lagi mengerikan yang disediakan untuk orang-orang yang menlanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala.
Ahli Jumaat sekalian,
Sebenarnya Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyaksikan banyak kejadian yang bakal diterima oleh manusia berdasarkan amal perbuatan yang dilakukan semasa hayat di dunia. Ada yang menerima kenikmatan di dalam syurga dan ada pula yang menerima penyeksaan di dalam neraka. Adapun antara kenikmatan di dalam syurga yang diperlihatkan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah mengenai segolongan orang menanam benih padi, pada ketika itu juga ia akan membuahkan hasil dan kejadian itu akan berlaku secara berterusan. Itulah ganjaran yang bakal diperolehi oleh orang yang suka mengimpakkan (membelanjakan) harta bendanya di jalan Allah. Selain itu Baginda juga tercium bau yang sangat harum dan Jibril menjelaskan bahawa itu adalah bau Mashitah yang telah rela mengorbankan diri demi mempertahankan akidah dan keimanan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala.
Manakala di dalam neraka pula, Baginda melihat banyak kejadian ngeri yang merupakan balasan bagi orang-orang yang membuat dosa, antaranya Baginda melihat segolongan orang yang memukul-mukul kepala mereka sendiri sehingga hancur, akan tetapi selepas itu, kepala itu akan bercantum semula dan kembali seperti sediakala. Kemudian mereka memukul kepala lagi hingga hancur dan kejadian itu akan terus berlaku secara berulang-ulang. Azab tersebut adalah bagi orang yang suka melengah-lengahkan sembahyang sehingga habis waktu sembahyang.
Selain itu Baginda juga menyaksikan segolongan lelaki dan wanita yang memotong satu potongan daging salah seorang daripada mereka, kemudian mereka meletakkan potongan daging tersebut pada mulut salah seorang daripada mereka itu dan berkata kepadanya, 'Makanlah sepertimana aku makan'. Itu adalah gambaran bagi orang yang mengumpat, pencela serta pengadu domba.
Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebenarnya Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyaksikan banyak kejadian yang bakal diterima oleh manusia akibat dari perbuatan yang tidak mengikut dan mematuhi perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Kalau difikirkan, semua kejadian yang telah diperlihatkan itu patut menjadi iktibar dan peringatan kepada kita supaya sentiasa berpegang kepada ajaran agama Islam. Tidak dinafikan kita tidak terlepas dari membuat kesilapan kerana itulah kita wajib bertaubat dan menginsafi apa jua perbuatan yang melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun kepada hamba-hamba-Nya.
Oleh itu marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari gambaran-gambaran yang diperlihatkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu sebagai panduan dan pembimbing menuju kebaikan dan kesempurnaan, semoga dengan demikian kita selamat dari segala bencana dan malapetaka dunia dan selamat dari azab api neraka.
. . .
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Israa' ayat 20 tafsirnya :
"Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia dengan Ilmu-Nya dan Kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan demikian juga Kami jadikan pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran dan Kami beri mereka takut dengan berbagai-bagai amaran maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau".
No comments:
Post a Comment