Pages

Thursday, 20 January 2011

Kelebihan dan Kerugian Hari Jumaat

بسم الله الرحمن الرحيم



Matlamat hidup manusia adalah untuk mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kebahagiaan itu pula akan dijamin datang apabila manusia mahu melaksanakan perintah dan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Antara perintah dan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang wajib ditunaikan ialah sembahyang. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya :

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya; Dan mereka yang mejauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia”.
(Surah Al-Mukminun: 1-3)
Berdasarkan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa kebahagiaan dan kemenangan hidup itu hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang beriman, orang-orang yang menjaga sembahyangnya dan orang-orang yang menjauhkan dirinya daripada perbuatan sia-sia.

Sembahyang merupakan salah satu daripada rukun Islam dan merupakan suatu ibadat yang sangat penting dalam Islam. Malah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegaskannya dalam sabda Baginda yang maksudnya :

“Mahukah kamu Aku memberitahukan bahawa dasar (punca) segala urusan, tiangnya dan puncaknya? Aku menjawab: “Ya! Wahai Rasulullah”, lalu Baginda bersabda: “Dasar (punca) segala urusan adalah Islam (dua kalimah shahadat) dan tiangnya ialah sembahyang dan puncaknya ialah jihad”.
(Hadis riwayat Al-Tirmizi)
Dengan demikian sembahyang merupakan suatu suruhan yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Orang yang menunaikan sembahyang ini akan diberi ganjaran pahala kerana mematuhi suruhan Allah Subhanhu wa Ta‘ala. Hidupnya sentiasa mendapat nikmat dan rahmat dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan di akhirat nanti akan dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama dengan orang-orang soleh.

KEWAJIPAN SEMBAHYANG JUMAAT

Sembahyang Jum‘at adalah salah satu diantara kewajipan yang termaklum berdasarkan al-Qur‘an dan Al-Sunnah, orang-orang yang mengingkarinya dihukumkan kufur.

Al-Qur‘an menjelaskan mengenai kewajipan sembahyang Jum‘at, Allah Subhanhu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jum‘at, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyangJum‘at) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”.
(Surah Al-Jum‘at: 9)
Berdasarkan ayat ini dan ayat-ayat berikutnya, Allah Subahanhu wa Ta‘ala memerintahkan umat Islam bersegera ke tempat sembahyang Jum‘at (masjid) sebaik-baik sahaja mendengar seruan azan serta meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja-kerja lain, untuk pergi ke masjid mendengar khutbah dan mengerjakan sembahyang Jum‘at. Setelah selesai sembahyang, mereka digalakkan meneruskan usahanya mencari rezeki sambil banyak mengingati Allah dalam segala keadaan. Mereka yang mematuhi ajaran Allah yang demikian itu akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mejelaskan mengenai kewajipan sembahyang Jum‘at tersebut berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :

“Sembahyang Jum‘at adalah hak yang wajib ke atas setiap orang Islam dengan (mengadakannya) secara berjemaah kecuali empat iaitu seorang hamba, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit”.
(Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)
Oleh itu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menetapkan hari Jum‘at sebagai hari besar mingguan bagi umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta memerintahkan mengadakan satu sembahyang yang khas menandakan kebesaran hari Jum‘at, bagi menggantikan sembahyang Zuhur.

KELEBIHAN HARI JUMAAT
Di antara kebesaran dan kelebihan hari Jum‘at itu ialah penghulu segala hari. Pada hari Jum‘at telah dijadikan bapa segala manusia iaitu Adam ‘alaihissalam. Pada hari itu juga diberikan satu saat di mana segala doa dan permintaan akan dikabulkan kecuali perkara-perkara yang maksiat sebagaimana Rasulullah bersabda yang maksudnya :

“Sesungguhnya hari Jum‘at adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sis Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jum‘at itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jum‘at juga akan terjadinya hari Kiamat”.
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Hari Jum‘at juga adalah hari pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat Islam baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan kelebihan orang yang berwudhu di rumahnya kemudian pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jum‘at dalam sabda Baginda yang maksudnya :
“Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Jum‘at, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jum‘at itu dan hari Jum‘at berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah) telah berbuat sia-sia”.
(Hadis riwayat Muslim)


Orang-orang yang meninggal dunia pada hari Jum‘at juga akan mendapat rahmat dan aman daripada segala azab kubur, perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:


“Sesiapa yang meninggal pada hari Jum‘at atau malam Jum‘at, dia akan dicop dengan cop iman dan terpelihara daripada siksa kubur”


(Hadis riwayat Al-Baihaqi)


Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengkhabarkan bahawa ganjaran pahala yang besar kepada orang-orang yang pergi berjemaah ke masjid termasuk untuk menunaikan sembahyang Jum‘at, sabda Baginda yang maksudnya :


“Apabila seseorang berwudhu lalu dia memperelokkan wudhunya kemudian dia keluar (pergi) ke masjid, dia tidak keluar kecuali untuk menunaikan sembahyang, tidak dia melangkah satu langkah kecuali ditinggikan satu darjat baginya dan dihapuskan baginya satu kesalahan, apabila dia bersembahyang Malaikat sentimemohonkan rahmat ke atasnya selama mana dia masih di tempat sembahyang dan belum berhadas, Malaikat memohonkan: “Wahai Allah berilah rahmat ke atasnya, wahai Allah sayangilah dia!”


(Hadis riwayat Al-Bukhari)


Dalam hadis ini mengandungi beberapa perkara yang penting. Pertama ganjaran pahala yang besar akan diperolehi oleh orang-orang yang pergi berjemaah di masjid dengan sedia berwudhu lalu pergi ke masjid untuk bersembahyang. Maka setiap langkahnya akan dikira sebagai penghapus dosa-dosanya dan menaikkan darjatnya. Para Malaikat juga sentiasa memohonkan keampunan dan rahmat kepada orang-orang sedemikian. Kedua, orang yang berwudhu di rumah itu menggambarkan bahawa mereka sentiasa menjaga ketepatan waktu sembahyang kerana telah bersedia lebih awal lagi.


Oleh yang demikian hari Jum‘at adalah hari yang mengandungi banyak kelebihan dan kebesaran yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.


HADIR JUMAAT LEBIH AWAL


Sesungguhnya kita dituntut agar menepati waktu sembahyang dan dilarang melengahkannya. Ini kerana bukan sahaja menepati waktu sembahyang itu merupakan tuntutan agama malahan orang yang menepati waktu sembahyang itu akan mendapat ganjaran yang besar. Hal ini disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :


“Orang-orang yang bersembahyang pada waktunya dan menyempurnakan wudhunya, menyempurnakan (tegak) berdirinya, menyempurnakan khusyu‘nya, ruku‘nya dan sujudnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan putih dan cemerlang. Sembahyang itupun berkata: “Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (memperelokkan kelakuan sembahyang itu)”. Tetapi sesiapa yang bersembahyang tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula memperelokkan wudhunya, khusyu‘nya, ruku‘nya dan sujudnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan hitam legam sambil berkata: “Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku”. Sehinggakan setelah sembahyang itu berada di suatu tempat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, lalu iapun dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak-koyak kemudian dipukulkanlah ke mukanya”.


(Hadis riwayat Al-Thabarani)


Ulama Syafe‘i juga sepakat mengatakan bahawa sunat (mustahab) menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari Jum‘at. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan tentang kelebihan orang-orang yang menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari Jum‘at, Baginda bersabda yang maksudnya :


“Apabila datang hari Jum‘at, maka setiap pintu masjid ada Malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutannya. Apabila imam telah duduk (di atas mimbar), para Malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah). Perumpamaan orang yang hadir ke masjid lebih awal adalah bagaikan orang yang menyembelih hadyi (korban) seekor unta, kemudian seperti menyembelih seekor sapi, kemudian seperti menyembelih seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam, kemudian seperti orang yang memberikan sedekah sebiji telur”.


(Hadis riwayat Muslim)


Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas kepada kita bahawa orang yang meghadirkan diri ke masjid lebih awal pada hari Jum‘at adalah sangat dituntut dan mempunyai ganjaran dan balasan yang besar. Sembahyang tepat pada waktunya juga dianggap sebagai memelihara sembahyang kerana jika dilenggahkan waktu sembahyang tersebut, kemungkinan akan tertinggal atau terlepas waktu yang ditentukan itu.


Malah Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah menjelaskan bahawa antara sifat-sifat orang yang mendapat kebahagiaan itu ialah orang-orang yang tetap mengerjakan sembahyang pada waktunya dengan cara yang sempurna. FirmanNya yang tafsirnya :


“Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya”


(Surah Al-Mukminun: 9)


Kesimpulannya, sembahyang dengan khusyu‘ dan tawadhu‘ serta menjaga dan memelihara waktu adalah satu kewajipan. Maka adalah disunatkan kepada orang yang wajib atasnya sembahyang Jum‘àt supaya menghadirkan diri lebih awal ke masjid bagi mengelak daripada terlepas pahala atau fadilat datang awal ke masjid seperti mana maksud hadis di atas.


Lambat hadir yang mendatangkan kerugian itu termasuklah hadir setelah imam naik ke atas mimbar untuk membaca khutbah. Hal ini telah diceritakan dalam hadis di atas yang menyebutkan yang maksudnya :


“Apabila imam telah duduk (di atas mimbar) para Malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah)”.


Ini bererti para Malaikat yang khusus bertugas mencatat kelebihan hadir awal ke masjid pada hari Jum‘at itu menghentikan catatannya kerana hendak sama-sama mendengar khutbah. Orang yang sedemikian hanya akan tersenarai dalam orang-orang yang hadir Jum‘at sahaja, tetapi tidak tersenarai dari orang-orang yang mendapat kelebihan yang seolah-olah berkorban seekor unta atau sapi seperti yang disebut dalam hadis di atas.


Dari itu sayugialah kita datang awal ke masjid pada hari Jum‘at itu dan ketika dalam perjalanan menuju ke Masjid hendaklah dengan khusyu‘ dan merendah diri. Apabila sampai di masjid jangan lupa berniat iktikaf ketika hendak masuk ke masjid. Dengan datang awal itu juga kita berkesempatan melakukan perkara-perkara sunat yang lain seperti sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid, membaca Al-Qur‘an, beristighfar, berzikir dan berdoa, kerana pada hari Jum‘at itu mempunyai kelebihan dan kebesaran yang banyak dan ganjaran yang berlipat ganda.

No comments:

Post a Comment